Klinik Satu Malaysia Belajawan 2010 - Penolong Pegawai Perubatan KKM

>> Saturday, October 24, 2009

KUALA LUMPUR: Penubuhan Klinik Komuniti 1Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2010 kelmarin, bagaikan serampang dua mata untuk rakyat yang memerlukan rawatan perubatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata apabila beroperasi sepenuhnya, klinik itu mampu mengatasi dua masalah bagi pesakit yang memerlukan rawatan biasa serta pesakit mengalami penyakit serius.

“Bagi yang sakit biasa, mereka boleh mendapatkan rawatan di Klinik Komuniti 1Malaysia tanpa tidak perlu mengeluarkan belanja pengangkutan dan pesakit serius pula boleh pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lebih lengkap.

“Ia bukan saja memudahkan rakyat daripada segi penjimatan masa serta belanja, malah boleh mengurangkan kesesakan di hospital kerana sebelum ini ramai pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit tidak serius,” katanya.

Kelmarin, Najib ketika membentangkan Bajet 2010 memaklumkan, kerajaan sebagai permulaan akan membuka 50 Klinik Komuniti 1Malaysia di kawasan terpilih di bandar dengan peruntukan RM10 juta.

Selain memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan, klinik itu akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam serta mengenakan bayaran sama seperti klinik kerajaan.

Klinik berkenaan akan dibuka di kawasan kediaman, sekali gus membolehkan rakyat mendapatkan rawatan dengan mudah.

Raja Nong Chik turut mengatakan, penubuhan Klinik Komuniti 1Malaysia akan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan pilihan.

“Sebelum ini golongan berpendapatan rendah terpaksa mengeluarkan belanja besar pergi ke klinik swasta tetapi kini punya pilihan untuk ke klinik komuniti saja.

“Bagaimanapun saya belum menerima maklumat daripada Kementerian Kesihatan berkaitan jumlah yang akan dibina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi berharap sekurang-kurangnya 20 akan diperuntukkan,” katanya.

Menurutnya, klinik berkenaan akan dibuka di kawasan seperti perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan kemungkinan rumah kedai bersesuaian.

Beliau turut menolak kebimbangan pihak tertentu bahawa klinik komuniti itu tidak berkualiti berlandaskan kenyataan bahawa hanya pembantu perubatan memberi rawatan.

“Klinik komuniti ini untuk rawatan penyakit biasa dan bukan penyakit berat manakala penjaganya pula adalah pembantu perubatan bertauliah.

“Pembantu perubatan berkenaan akan melakukan pemeriksaan juga rawatan selain khidmat nasihat apa yang perlu dilakukan pesakit, ubat apa perlu diambil dan pelbagai lagi.

“Bagaimanapun ia semua hanya daripada jenis penyakit ringan dan jika serius, mereka perlu dapatkan rawatan di hospital besar,” katanya.

Pembantu perubatan yang akan diambil bertugas pula adalah mereka yang bertauliah, berpengalaman serta mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan jenis penyakit bagi memastikan pesakit diberi rawatan terbaik.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil, berkata penubuhan klinik berkenaan adalah idea hebat dan tidak sepatutnya berhenti di situ saja.

“Pada pendapat saya, kita laksanakan dulu dan satu masa nanti kerajaan boleh tambah jumlah sedia ada. Dalam masa sama mungkin juga akan ada penambahbaikan seperti kini hanya diletakkan pembantu perubatan tetapi pada masa depan mungkin doktor akan bertugas di sana.

“Ini kerana penubuhan klinik ini mampu memberi banyak kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah selain mengurangkan kesesakan di wad kecemasan hospital,” katanya.

Beliau berkata, pembantu perubatan juga tidak boleh dipandang remeh kerana mereka turut ada kepakaran dalam memberi rawatan untuk pesakit ringan.

“Pembantu perubatan sentiasa berkomunikasi dengan doktor dan pasti mereka juga mempunyai pengalaman serta kepakaran memberi rawatan untuk pesakit ringan,” katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, juga menyokong penuh penubuhan Klinik Komuniti 1Malaysia kerana bukan saja mampu memberi rawatan kepada golongan berpendapatan rendah, malah meningkatkan lagi integrasi kaum di kawasan berkaitan.

“Lebih banyak klinik dibuka, lebih tinggi lagi peningkatan integrasi kaum. Saya yakin penubuhannya dialu-alukan mereka yang berpendapatan rendah kerana kemiskinan itu tidak mensasarkan mana-mana kaum atau latar belakang individu berkaitan. Dengan adanya klinik itu, ia mampu memberi kelegaan kepada banyak pihak yang memerlukan,” katanya. - Harian Metro

0 comments:

About This Blog

Blog tak rasmi Penolong Pegawai Perubatan Malaysia

kepada PPP boleh lah menghantar note2 cme, update2 untuk di masukkan kedalam blog ini agar dapat kita berkongsi ilmu bersama..

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP